FORUM AWAM : HUTAN SEMULAJADI TERPELIHARA, RAKYAT SEJAHTERA

Ditulis pada . di dalam Berita

Pasukan Khas Pembiayaan Hijau Negeri Terengganu telah menganjurkan satu Forum Awam : Hutan Semulajadi Terpelihara, Rakyat Sejahtera pada 7 September 2022 (Rabu) bertempat di Dewan Konvensyen, Tingkat 2, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Forum ini merupakan hasil kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPENT), Universiti Malaysia Terengganu(UMT) bersama Nature Based Solution/ Rimba serta di bawah program UKPACT- United Kingdom Partnering for Accelerated Climate Transitions 2022.

Tujuan utama forum awam ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap isu-isu perubahan iklim, kepentingan perlindungan hutan dan kaedah-kaedah menjana dana kewangan jangka panjang kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Selain itu, perkongsian ini juga bertujuan memberi pendedahan baru kepada mahasiswa dan pelajar sekolah untuk memahami dan menghargai kepentingan ekosistem serta pemuliharaan biodiversiti.

Pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan turut diundang sebagai panel forum ini seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri (MTPN), Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Panthera Wild Cat Conservation, Malaysia. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu. Semua mahasiswa Universiti Awam dan Swasta serta pelajar-pelaja sekolah turut dijemput hadir (secara maya) bagi memeriahkan forum ini.

 

KUNJUNG HORMAT PENGARAH JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA NEGERI TERENGGANU

Ditulis pada . di dalam Berita

6 September 2022 (Selasa), YBhg. Dato' Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri  telah menerima kunjung hormat daripada Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu, Puan Marlini binti Sahul Hamid bersama pegawainya Puan Norhaizan binti Mohd Basri, Penolong Pengarah Kanan di Unit Perancang Ekonomi Negeri, Wisma Darul Iman.

Sesi kunjung hormat ini bertujuan membincangkan beberapa perkara bagi memantapkan tadbir urus statistik hingga ke peringkat terkecil selaras dengan Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN). Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negeri/Wilayah (MSDNgW) dan penubuhan Majlis Statistik dan Data Daerah (MSDD) di peringkat Negeri Terengganu.

Semoga kerjasama strategik yang terbina antara UPEN Terengganu dan DOSM Terengganu akan terus berkekalan dalam meningkatkan perkhidmatan statistik di negeri Terengganu.

 

SELAMAT HARI KEBANGSAAN TAHUN 2022

Ditulis pada . di dalam Berita

Assalamualaikum wbt dan salam sejantera.

Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang semestinya diingati oleh seluruh rakyat Malaysia. Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan "Keluarga Malaysia Teguh Bersama" bagi menggambarkan keperihatinan dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran pandemik Covid19.

Alhamdullilah pada tahun 2022 kita telah dapat mengatur sambutan Hari Kebangsaan dengan lebih sempurna setelah 2 tahun kita menyambutnya dalam suasana pandemik Covid-19. Bermula tahun 2022 juga ini jentera pentadbiran kerajaan telah dapat beroperasi sepenuhnya. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang merupakan nadi kepada pembangunan negeri telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan setiap unit menggandakan gerak kerja agar setiap perancangan yang telah dibuat sebelum ini mencapai sasaran. Sepanjang dua tahun kita terpaksa melaksanakan kerja mengikut SOP yang telah digariskan di mana banyak kekangan dan kesukaran yang terpaksa kita harungi. Sistem pelaksanaan kerja telah kita sesuaikan supaya apa yang ketinggalan sepanjang tempoh pandemik Covid 19 dapat diambil tindakan segera. Komitmen tinggi daripada semua pegawai dan staf akan dapat memudahkan proses kerja bagi mencapai KPI yang telah ditetapkan. Selain daripada itu, sokongan masyarakat juga amat diperlukan bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya. Negeri Terengganu telah mencapai peningkatan pertumbuhan KDNK tahun 2021 berbanding tahun 2020. Di samping itu, kadar tersebut iaitu 3.6 telah mengatasi kadar pertumbuhan peringkat Nasional iaitu 3.1. Ini menunjukkan bahawa Negeri Terengganu berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonomi selepas era pandemik Covid 19. InshaAllah, melalui usaha yang konsisten dan berterusan, ekonomi rakyat dan negeri akan dapat diperkukuhkan. Percayalah bahawa dengan semangat solidariti yang tinggi di antara kita akan dapat merealisasikan Terengganu menjadi sebuah negeri yang berdaya maju dan sejahtera.

Kesempatan ini saya mewakili seluruh warga UPEN mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan Tahun 2022.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Dato' Tun Ahmad Faisal Bin Tun Abdul Razak
Pengarah
Unit Perancang Ekonomi Negeri
Terengganu
31 Ogos 2022