KEJOHANAN BOLING PADANG ANJURAN KELAB GABUNGAN WISMA DARUL IMAN

Ditulis pada . di dalam Berita

Kelab Gabungan Wisma Darul Iman telah menganjurkan Kejohanan Boling Padang yang diadakan pada 22 Oktober 2022 (Sabtu) bertempat di Arena Boling Padang, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Sekalung tahniah diucapkan kepada  pasukan Lebah A bagi Kategori Wanita yang telah merangkul Juara dan Lebah B bagi Kategori Lelaki yang telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam kejohanan tersebut.

 

MAJLIS PENYERAHAN ASRAMA SUKAN NEGERI TERENGGANU

Ditulis pada . di dalam Berita

Majlis Penyerahan Asrama Sukan Negeri Terengganu telah diadakan pada 2 Oktober 2022 (Ahad) bertempat di Bilik Taklimat Dan Tayangan Video, Asrama Sukan Negeri Terengganu.

Turut hadir pada majlis  tersebut adalah En Ahmad Ridzwan bin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Tuan Ir. Hj. Md Ridzwan Bin C. Chik, Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Encik Ahmad Shahrizal bin Yahaya, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Baharuddin bin Ali, Pengurus Besar Kanan Pembinaan Pasukan Projek Persekutuan Negeri Terengganu serta Encik Mohd Faizal bin Ramli, Pengarah Urusan Sincere Image Sdn. Bhd.

Majlis Penyerahan Dokumen dan Gimik Penyerahan Replika Kunci turut diadakan sebagai simbolik kepada majlis tersebut. Cadangan merekabentuk dan membina Asrama Sukan Negeri Terengganu adalah merupakan satu projek pembinaaan yang menyediakan prasarana kemudahan kepada atlet yang terletak di dalam Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Asrama Sukan Negeri Terengganu telah dibina untuk menempatkan atlet dengan kapasiti tidak kurang 600 orang serta kemudahan fasiliti sokongan seperti Bilik Taklimat, Dewan Serbaguna, Bilik Rawatan, Dobi, Surau, Gym, Cafe Tertutup, Gelanggang Tenis, Gelanggang Takraw serta Kolam Renang.

Dengan adanya fasiliti ini, diharap para atlet dapat menjalani latihan dengan jayanya. Kerajaan Negeri begitu komited dalam membantu para atlet bagi mencapai sasaran dalam sesuatu kejohanan yang disertai.

 

PENUTUP SUKAN MALAYSIA (SUKMA XX)

Ditulis pada . di dalam Berita

Sukan Malaysia (SUKMA XX)  MSN 2022 yang berlangsung pada 16 September 2022 – 24 September 2022 telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada 24 September 2022 bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Memanah Terengganu yang telah menyumbangkan 3 pingat emas, 4 pingat Perak dan 2 pingat Gangsa kepada kontinjen Terengganu dan telah mencapai sasaran yang ditetapkan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada jurulatih dan pihak pengurusan yang tanpa jemu memberikan komitmen dan tunjuk ajar kepada Pasukan Memanah Terengganu sehingga terhasilnya kejayaan yang membanggakan negeri.

Tahniah juga kepada Kontinjen Terengganu yang telah merangkul naib johan keseluruhan dengan 64  pingat emas, 49 pingat perak dan 56 pingat gangsa. Terima kasih kepada semua kerana telah berjuang habis-habisan demi lencana didada dan atas segala sokongan dan penglibatan semua pihak dalam memastikan kejayaan Kontinjen Terengganu pada SUKMA XX.