SISTEM PENGAIRAN PADI ANTARA INFRASTRUKTUR TERUK YANG TERKESAN BANJIR
5 Januari 2023 - Sesi lawatan kerja yang diketuai oleh Encik Ahmad Ridzwan bin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) ke Skim Pengairan Kepala Gajah, Bukit Jeruk dan Gong Setar di Besut serta Skim Pengairan Alor Serdang, Setiu telah dilaksanakan bagi melihat serta menilai kerosakan terhadap infrastruktur pengairan padi seperti sistem saliran dan jalan ladang yang terjejas akibat daripada bencana banjir pada bulan Disember 2022.
Turut hadir dalam lawatan ini adalah YBhg. Dato’ Zulkepli Amin bin Mat Jusoh, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Tuan Haji Hanizan bin Deraman, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu serta wakil daripada Pejabat Daerah.
Kerosakan infrastruktur yang menimpa kawasan luar jelapang di daerah Besut dan Setiu ini mendapat perhatian segera Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu memandangkan kawasan yang terlibat merupakan kawasan aktif bertanam serta telah dicadangkan untuk dinaiktaraf menjadi kawasan jelapang atau sebahagian daripada kawasan IADA KETARA. Padi merupakan makan ruji namun pengeluaran padi di negeri ini masih belum mencapai tahap sara diri (SSR) yang mencukupi. Dalam masa yang sama, terima kasih kepada pihak JPS yang mengambil tindakan pantas dengan menyelenggara pintu air di Skim Pengairan Alur Serdang, Setiu bagi membolehkan para petani mula bertanam.