LAWATAN TAPAK KE STESEN JANAELEKTRIK SULTAN MAHMUD (SJSM) KENYIR
Satu lawatan tapak berkaitan kerja pembaikan cerun dan kerosakan infrastruktur di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir yang runtuh ketika bencana akhir Februari serta awal Mac 2022 telah diadakan pada 8 Januari 2024.
Turut hadir dalam lawatan tersebut Yang Berhormat Tuan Haji Hanafiah bin Mat, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Pengarah Perhutanan, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad serta beberapa ketua jabatan lain.
Kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan di dalam kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bagi bukit di luar kawasan TNB usaha baikpulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Kerja-kerja pembaikian tersebut telah bermula sejak 27 Februari 2022 dan fasa pertama yang meliputi empangan dan alur limpah telah siap seratus peratus.
TNB kini telah memasuki fasa seterusnya yang melibatkan hampir 60 peratus cerun dibawah kawasan seliaan mereka. Sementara itu, bagi lima cerun di kawasan seliaan JKR, kerja-kerja baik pulih bermula pada Oktober tahun lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM42 juta.
Penilaian terkini mendapati struktur empangan juga kekal utuh dan tidak berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada masyarakat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi sehinggakan mencetuskan suasana panik berhubung tentang keselamatan empangan. Empangan Kenyir masih dalam keadaan selamat dan terkawal serta pihak TNB sentiasa memantau paras air di empangan tersebut secara berkala.