PROGRAM GREEN MOBILITY ROADSHOW BY GENTARI
KUALA TERENGGANU, 4 FEBRUARI 2024- Kerajaan Negeri Terengganu dengan Kerjasama Gentari Sdn Bhd yang merupakan anak Syarikat PETRONAS telah menjayakan Program Green Mobility Roadshow by Gentari di perkarangan Wisma Darul Iman. Program yang julung kalinya diadakan ini adalah bertujuan memberikan pendedahan kepada penjawat awam di Terengganu khususnya di Wisma Darul Iman tentang kepentingan peralihan penyelesaian yang lebih menyeluruh kearah kepada peralihan tenaga yang lebih bersih dan cekap seperti penggunaan kenderaan elektrik(EV) dan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Pihak Gentari Sdn Bhd telah diberikan peluang yang khusus untuk mempamerkan produk yang sedang dibangunkan dan akan dibangunkan di Negeri Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu. YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu dalam sidang media yang dilangsungkan selepas tamat program memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sedang memperhalusi beberapa kerjasama bersama pihak PETRONAS khususnya Gentari Sdn Bhd dalam pembangunan projek yang akan memberikan impak ekonomi yang sewajarnya bagi rakyat negeri Terengganu. Program pada hari ini bakal diteruskan pada keesokan harinya di sekolah sekitar bandar Kuala Terengganu dan di Menara MBKT yang akan melibatkan penyertaan daripada semua pihak termasuk pelajar dan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Terengganu.