LAWATAN KERJA KE LOJI RAWATAN AIR (LRA) SUNGAI LABU, LRA SEMENYIH 2 DAN PUSAT KAWALAN PINTAR (ICC) AIR SELANGOR

Ditulis pada . di dalam Berita

Lawatan kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu, LRA Semenyih 2 dan Pusat Kawalan Pintar (ICC) Air Selangor telah diadakan pada 8 dan 9 Januari 2024. Lawatan kerja ini adalah sebahagian daripada skop pelaksanaan Kajian Kemungkinan (FS) bagi Cadangan Membina LRA Baharu dan Sistem Agihan di Daerah Marang. Lawatan kerja ini telah disertai oleh wakil-wakil daripada Jabatan Bekalan Air Negeri Terengganu (JBA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dan Perunding SMHB Sdn. Bhd.

Pada hari pertama, lawatan kerja dimulakan dengan lawatan ke LRA Sungai Labu. LRA Sungai Labu mula beroperasi pada tahun 2012 dengan kapasiti reka bentuk berjumlah 105JLH. Sumber air mentah adalah daripada Sungai Batang Labu yang dialirkan ke dalam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) atau Off River Storage (ORS) dengan keluasan 66 hektar dan kapasiti simpanan sebanyak 9 juta meter padu yang boleh bertahan selama 90 hari.

Pada sebelah petang, lawatan kerja diteruskan ke LRA Semenyih 2. LRA Semenyih 2 mula beroperasi pada tahun 2016 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100JLH. LRA ini juga menggunakan konsep ORS yang terdiri daripada 3 buah kolam dengan kapasiti simpanan selama 30 hari di mana air mentah diabstrak daripada Sungai Langat. Loji ini merupakan loji automasi pertama oleh Air Selangor dan akan dijadikan loji berkonsepkan Artificial Intelligence (AI) menjelang tahun 2030.

Pada hari kedua, delegasi daripada negeri Terengganu telah membuat lawatan kerja ke Pusat Kawalan Pintar (ICC) yang terletak di Ibu Pejabat Air Selangor. Penubuhan ICC ini membolehkan operasi digital Air Selangor menghubung dan mengintegrasi parameter aset strategik utama yang merangkumi tekanan dan aliran air, tahap takungan, status pam, serta kebolehan kawalan pengawasan dan pemerolehan data (SCADA). Penggunaan teknologi di ICC mampu mempertingkatkan kecekapan, keuntungan dan daya ketahanan operasi loji kerana syarikat boleh mengumpul dan menggunakan maklumat masa nyata untuk dianalisa tepat pada masanya agar tindakan pencegahan dapat diambil sebelum timbul sebarang isu yang lebih kritikal.

LAWATAN KERJA YANG BERHORMAT EXCO KE KULIM HI-TECH PARK

Ditulis pada . di dalam Berita

Lawatan kerja YB Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu ke Kulim Hi-Tech Park Bersama Agensi-Agensi Kerajaan Negeri Terengganu telah diadakan pada 9 Januari 2024 (Selasa).

Delegasi Kerajaan Terengganu yang diketuai oleh YB Mohd Nurkhuzaini bin AB Rahman Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu ini bertujuan untuk meneroka pengalaman Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. dalam menguruskan kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park sejak pembukaan rasminya pada tahun 1996 selain melihat perkembangan terkini di kawasan industri Kulim Hi-Tech Park selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035. Selain itu juga lawatan ini bertujuan untuk menerokai teknologi serta idea baharu yang telah dilaksanakan di Kulim Hi-Tech Park serta sebagai langkah awal untuk kedua-dua belah pihak menjalin kerjasama industri di masa hadapan.

Hadir sama dalam lawatan tersebut adalah YB Mohd Husaimi Hussin Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, YBhg Dato’ Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Encik Mohd Adzhar bin Mohd Zahari, Pengurus Besar INVEST Terengganu, Encik Burhanuddin Hilmi bin Mohamed@Harun, President & Group CEO, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Encik Fazrul Isham bin Mohd, Pengurus Besar Pembangunan Perindustrian, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Puan Nurul Amalina binti Ahmad Kassim, Pengarah MIDA Negeri Terengganu serta wakil-wakil pegawai Kerajaan Negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu juga turut dibawa ke Xperience Centre iaitu galeri baru yang menggunakan teknologi terkini bagi memberi pengalaman baru kepada para pelabur dan komoditi Kulim Hi-Tech Park.

Pelaburan dan perdagangan merupakan elemen penting bagi memacu pembangunan ekonomi dan mentransformasi negeri Terengganu ke arah negeri berpendapatan tinggi. Dalam usaha Kerajaan Negeri untuk mensasar dan menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri juga menawarkan ruang dan peluang kepada pelabur dalam pelbagai sektor melalui 28 kawasan perindustrian. Usaha mempromosikan kawasan industri ini kepada pelabur akan dibantu oleh UPEN Terengganu melalui Unit Invest Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Terengganu, Majlis Pembangunan Wilayah Timur (ECERDC) dan agensi-agensi berkaitan yang sentiasa komited untuk memastikan Terengganu terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih di negara ini bagi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI).

LAWATAN KE TAPAK PROJEK PERINTIS NADIR BUMI BUKAN RADIOAKTIF DI MUKIM KENERING, GERIK, PERAK

Ditulis pada . di dalam Berita

Satu lawatan ke tapak Projek Perintis Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif di Mukim Kenering, Gerik, Perak telah diadakan pada 8 Januari 2024 (Isnin).

Lawatan ini telah diketuai oleh YB Mohd Nurkhuzaini bin Ab Rahman Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu. Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah YB Dr. Mamad bin Puteh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli Terengganu, YBhg Dato’ Haji Ishamuddin bin Hashim, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, YBhg Dato’ Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu serta wakil-wakil Pegawai Kerajaan Negeri dan GLC Negeri Terengganu.

Kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Terengganu telah melawat tapak projek perintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Kenering yang merupakan satu-satunya projek perlombongan NR-REE di Malaysia dan telah diberikan kelulusan oleh jabatan serta agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Tujuan lawatan delegasi Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini adalah untuk melihat pelaksanaan aktiviti perlombongan di tapak projek yang mengguna pakai kaedah perlombongan In-Situ Leaching serta mendapat penerangan berkenaan prosedur yang ditetapkan melalui dokumen Prosedur Operasi Standard Aktiviti Perlombongan NR-REE Di Negeri Perak (SOP NR- REE Negeri Perak).

Kerajaan Negeri Terengganu juga turut berminat dalam penerokaan, perlombongan dan pengekstrakan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) berdasarkan potensi impak ekonominya kepada Negeri Terengganu. Semoga sektor ini terus berkembang maju selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai Hub Pelaburan penting di Malaysia menjelang 2030.