LAWATAN T.Y.T. DUTA BESAR REPUBLIK CHINA KE TASIK KENYIR PADA 14 OGOS 2013
T.Y.T. Duta Besar Republik China, Datuk Chua Xi dan isteri beliau telah melawat Tasik Kenyir pada 14 Ogos 2013. Delegasi beliau adalah seramai 15 orang termasuk wakil dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu.
Ketibaan T.Y.T. Duta Besar China telah disambut oleh Pengurus Besar KETENGAH, Tuan Haji Wan Mat Amin bin Wan Daud dan wakil – wakil dari jabatan dan agensi seperti perhutanan, muzium dan TNB serta Encik Mohd Milzam Bin Nur Anuar (Penolong Pengurus Unit Pembangunan Tasik Kenyir) sebagai wakil UPEN.
Sesi lawatan tersebut dimulakan dengan jamuan sarapan pagi sebelum delegasi diberikan penerangan ringkas berhubung perancangan pembangunan kerajaan negeri di Tasik Kenyir yang disampaikan sendiri oleh Pengurus Besar KETENGAH. Delegasi turut dibawa melawat ke Taman Herba Tasik Kenyir dan Taman Orkid Tasik Kenyir dan kemuncak sesi lawatan tersebut adalah jamuan makan tengah hari di Danau Cafe, Pusat Informasi Kenyir.