LAWATAN JABATAN ANGKAT KE TEMPAT LATIHAN PASUKAN MEMANAH SUKMA TERENGGANU

Ditulis pada . di dalam Berita

Selasa, 13 September 2022 – Unit Perancang Ekonomi Negeri selaku Jabatan Angkat kepada Pasukan Memanah SUKMA Terengganu telah mengadakan lawatan untuk melihat persiapan terakhir para atlet pasukan memanah sebelum berangkat ke SUKMA XX di The Payang Scout, Kuala Nerus. Lawatan ini diketuai oleh En Ahmad Ridzwan Bin Abd Rahman Timbalan Pengarah (Sektoral) dan turut dihadiri oleh pegawai dan kakitangan Unit Perancanf Ekonomi Negeri.

Sedikit taklimat daripada En Ahmad Jailani Bin Halus selaku Pengurus Pasukan Memanah Terengganu berkenaan prestasi semasa para atlet yang akan bertanding pada kejohanan SUKMA tersebut. Selain itu, Timbalan Pengarah juga memberi ucapan dan kata-kata semangat kepada para atlet untuk menghadapi kejohanan tersebut. Pada lawatan ini juga turut diselitkan sedikit jamuan kecil bagi meraikan hari jadi atlet.

Selamat berjuang kepada semua atlet memanah SUKMA Terengganu. Semoga beroleh kejayaan.

 

FORUM AWAM : HUTAN SEMULAJADI TERPELIHARA, RAKYAT SEJAHTERA

Ditulis pada . di dalam Berita

Pasukan Khas Pembiayaan Hijau Negeri Terengganu telah menganjurkan satu Forum Awam : Hutan Semulajadi Terpelihara, Rakyat Sejahtera pada 7 September 2022 (Rabu) bertempat di Dewan Konvensyen, Tingkat 2, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Forum ini merupakan hasil kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPENT), Universiti Malaysia Terengganu(UMT) bersama Nature Based Solution/ Rimba serta di bawah program UKPACT- United Kingdom Partnering for Accelerated Climate Transitions 2022.

Tujuan utama forum awam ini diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap isu-isu perubahan iklim, kepentingan perlindungan hutan dan kaedah-kaedah menjana dana kewangan jangka panjang kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Selain itu, perkongsian ini juga bertujuan memberi pendedahan baru kepada mahasiswa dan pelajar sekolah untuk memahami dan menghargai kepentingan ekosistem serta pemuliharaan biodiversiti.

Pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan turut diundang sebagai panel forum ini seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri (MTPN), Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Panthera Wild Cat Conservation, Malaysia. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu. Semua mahasiswa Universiti Awam dan Swasta serta pelajar-pelaja sekolah turut dijemput hadir (secara maya) bagi memeriahkan forum ini.

 

KUNJUNG HORMAT PENGARAH JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA NEGERI TERENGGANU

Ditulis pada . di dalam Berita

6 September 2022 (Selasa), YBhg. Dato' Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri  telah menerima kunjung hormat daripada Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu, Puan Marlini binti Sahul Hamid bersama pegawainya Puan Norhaizan binti Mohd Basri, Penolong Pengarah Kanan di Unit Perancang Ekonomi Negeri, Wisma Darul Iman.

Sesi kunjung hormat ini bertujuan membincangkan beberapa perkara bagi memantapkan tadbir urus statistik hingga ke peringkat terkecil selaras dengan Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN). Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negeri/Wilayah (MSDNgW) dan penubuhan Majlis Statistik dan Data Daerah (MSDD) di peringkat Negeri Terengganu.

Semoga kerjasama strategik yang terbina antara UPEN Terengganu dan DOSM Terengganu akan terus berkekalan dalam meningkatkan perkhidmatan statistik di negeri Terengganu.